Sunday 28 April 2013

SAINS SEKOLAH RENDAH

        Sains nampaknya sentiasa berada di sekeliling kita. Segala benda dalam alam sekitar adalah berkaitan dengan Sains. Kanak-kanak sentiasa ingin tahu tentang fenomena yang diperhatikan dalam persekitaran. Mereka juga seringkali bertanya tentang fenomena-fenomena tersebut.
       Dalam kehidupan moden ini, Sains memainkan peranan yang begitu penting. Setiap aspek hidup kita berkaitan dengan Sains. Umpamanya dalam penciptaan alatan seperti radio, televisyen, kereta dan sebagainya. Sesungguhnya Sains bukan merupakan satu mata pelajaran tulen tetapi sebaliknya merangkumi beberapa bidang pelajaran seperti Astronomi, Biologi, Ekologi, Fizik, Geologi, Kejuruteraan dan Perubatan.
      Sains boleh didefinisikan sebagai satu bidang pengetahuan yang tersusun hasil daripada pemerhatian dan eksperimen berulang yang memberi penerangan yang rasional tentang kejadian alam semula jadi.Ianya lebih sesuai dilaksanakan melalui kaedah inkuiri-penemuan. Di sekolah rendah pelaksanaannya lebih menjurus kepada inkuri berbimbing.
     Bagi Sains sekolah rendah, tema penyiasatan adalah berkisar kepada alam kehidupan, alam fizikal, alam bahan, bumi dan alam semesta dan dunia teknologi. Kemahiran proses Sains dan Kemahiran manipulatif Sains juga didedahkan kepada murid-murid. Di bawah kurikulum standard sekolah rendah, (KSSR) elemen teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) juga diterapkan di dalam pengajaran.
     Bagi menanamkan minat yang mendalam di hati murid-murid, guru Sains hendaklah pandai merancang aktiviti pembelajaran agar ianya akan menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan kepada murid-murid dan dapat merealisasikan hasrat kementerian iaitu dasar 60 : 40.
    Meskipun dilabel sebagai salah satu mata pelajaran kritikal, tetapi kecemerlangan  mata pelajaran ini masih dapat dikecapi di dalam peperiksaan awam.

"LEARNING SCIENCE IS FUN"


FOTOSINTESIS (SAINS THN 4)

Tumbuhan hijau boleh membuat makanan sendiri melalui proses fotosintesis. Dengan kehadiran cahaya matahari, air, karbon dioksida dan pigmen hijau pada daun, mereka boleh membuat makanan sendiri.


 Melalui proses ini, kanji dihasilkan dan ianya boleh dikesan dengan menitiskan larutan iodin pada daun.
Bahan sampingan yang dihasilkan ialah gas oksigen. Oksigen diperlukan oleh semua benda hidup. Semakin banyak tumbuhan yang membuat makanan pada waktu siang, semakin banyak kandungan oksigen di bumi.
Oleh itu, kita harus menanam lebih banyak tumbuhan untuk menambahkan kadar oksigen di persekitaran kita.

"SAVE OUR MOTHER EARTH"

 

Agen penyebaran biji benih (Sains Thn 5)

Tumbuhan memerlukan agen untuk menyebarkan biji benihnya. Biji benih perlu disebarkan untuk mengelakkan berlakunya persaingan di antara anak-anak pokok.
Terdapat 4 agen penyebaran biji benih iaitu melalui haiwan/serangga, air, angin dan mekanisme letupan.

a) agen penyebaran - haiwan/serangga
Biji benih yang disebarkan melalui kaedah ini mempunyai beberapa ciri iaitu:-
i. rasa yang sedap
ii. bau yang harum
iii. biji benih yang kecil dan keras
iv. mempunyai warna yang menarik
v. mempunyai cangkuk
Contoh biji benih ialah rambutan, betik, durian, manggis, cili, kemuncup dan lain-lain lagi.
 

 
b)agen penyebaran - air
Ciri-ciri biji benih ialah:-
i. mempunyai kulit yang kalis air
ii. boleh terapung di permukaan air
iii. kulit berlilin
iv. habitat tumbuhan berhampiran air
v.bersabut
vi. mempunyai rongga udara
Contoh ialah buah pong-pong, kelapa, teratai



c) agen penyebaran - angin
Ciri-ciri biji benih ialah:-
i. mempunyai kepak dan struktur seperti sayap
ii. ringan dan mudah diterbangkan oleh angin
iii.berbulu
Contoh ialah biji buah meranti, angsana, lalang dan dendelion



d)agen penyebaran - mekanisme letupan
Ciri-ciri biji benih:-
i. mempunyai kulit luar yang akan kering dan boleh merekah apabila matang
Contoh ialah keembong, getah, bendi, saga, jering dan lain-lain lagi



Video Eksperimen Sains (playlist)(Sains Thn 5)

Saturday 27 April 2013

SEKOLAHKU...

Sekolah saya merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar. Lokasinya berhampiran dengan sungai Perak. Mempunyai seramai 17 orang guru dan 5 orang staf sokongan.
  



Semenjak saya bertukar ke sekolah ini, saya telah diarahkan untuk mengajar mata pelajaran Sains memandangkan opsyen saya ialah Sains dan Matematik.
Pencapaian matapelajaran Sains UPSR di sekolah ini amat membanggakan.




Rekod yang ditunjukkan dalam UPSR ialah :
Tahun 2005  - 100% lulus
Tahun 2006  - 89.5%lulus
Tahun 2007  - 100% lulus
Tahun 2008  - 92.3% lulus
Tahun 2009  - 100% lulus
                                                      Tahun 2010 - 100% lulus
                                                      Tahun 2011 - 100% lulus
                                                      Tahun 2012 - 100% lulus

                                                       Harapan 2013 - target 100% lulus

BERKENALAN DENGAN PENULIS BLOG....

Assalamualaikum buat semua pembaca yang sudi melawat blog saya ini...


Penulis merupakan anak jati Kampung Batu 16, Ayer Tawar, Perak.



Mendapat pendidikan awal di SK AyerTawar, seterusnya pendidikan menengah di SMK Ambrose, Ayer Tawar. Setelah tamat SPM meneruskan pengajian di ITM Cawangan Segamat (1990 - 1992) dalam bidang Perakaunan. Mempunyai pengalaman sebagai guru sandaran tidak terlatih selama 2 tahun di SK Pengkalan Bharu, SK Sg Batu,  dan SMK Dato Idris kesemuanya di Pantai Remis. Seterusnya menyambung pengajian dalam bidang perguruan di Institut Perguruan Sultan Idris (1995-1997)

Ditempatkan di SK Taman Megah Petaling Jaya, (1998) seterusnya di SMK Tan Sri Abd Aziz Lenggong (1998-2004), SK Lubuk Kawah Lenggong (2004-2005) dan seterusnya di SK Chegar Galah, Sauk, Kuala Kangsar (2005 hingga sekarang)

Telah berkahwin dan mempunyai 4 orang cahaya mata..



Monyet di talian....(on-line ke...?)

Monyet merupakan antara haiwan yang pandai bergayut, menghambur dari satu pokok ke pokok lain tanpa rasa bimbang akan jatuh ke tanah. Peribahasa ada menyatakan..."sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua".Ini membawa maksud, ada tupai yang tidak berjaya melompat dan terjatuh ke tanah. Bagaimana dengan monyet...?

Cuba perhatikan gambar ini. Ianya sering kita lihat di mana banyak monyet bergayut pada talian / kabel elektrik tetapi mereka jarang terjatuh ke bawah. Mengapa agaknya?                                                            

Monyet ini menggunakan ekornya yang panjang sebagai satu alat untuk mengimbangi badannya terutamanya semasa meniti di atas talian yang halus. Walaupun mereka kelihatan seperti hendak terjatuh tetapi..tidak jatuh ke tanah.

Thursday 25 April 2013

video jelajah negeri, eksplorasi ilmu...(program motivasi di USM)


JELAJAH NEGERI EKSPLORASI ILMU

Pihak Sekolah Kebangsaan Chegar Galah telah mengadakan satu program motivasi yang bertajuk "jelajah negeri, eksplorasi ilmu " yang bertempat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.Program ini diadakan dengan hasrat untuk memotivasikan murid-murid tahun 6 sebelum menghadapi peperiksaan UPSR.
Setiap murid diberikan seorang kakak atau abang angkat yang terdiri daripada mahasiswa/i USM .
Murid-murid juga di bawa melawat ke sekitar USM dan memperolehi pengalaman sebagai seorang mahasiswa cilik selama 1 hari.

bergambar bersama "angkasawan Malaysia pertama" di Muzium USM

kegembiraan bersama kakak angkat seorang mahasiswi

 singgah sebentar menghirup udara segar di puncak Bukit Bendera

 



Wednesday 24 April 2013

KEKUATAN DAN KESTABILAN(SAINS THN 5)

Terdapat pelbagai jenis bangunan di Malaysia. Berikut ialah beberapa buah bangunan yang terdapat di Malaysia. Cuba perhatikan bangunan - bangunan tersebut dan kenal pasti bentuk yang digunakan untuk membina bangunan tersebut. Bentuk yang biasa digunakan ialah bentuk kuboid, kubus, silinder, hemisfera dan kon. Cuba anda bandingkan bangunan ini dan kenalpasti yang manakah merupakan bangunan yang paling stabil?


PUSAT SAINS NEGARA, BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR




Pusat Sains Negara merupakan satu tempat yang sering dikunjungi oleh pelajar-pelajar sekolah. Di sini para pelajar dapat merasai pelbagai pengalaman yang menarik melalui aktiviti Sains yang kreatif yang terdapat di sini.
Gambar di atas menunjukkan penulis mengabadikan kenangan ketika berkunjung ke Pusat Sains Negara. 
 Untuk mengetahui dengan lebih lanjut aktiviti yang terdapat di sana, sila klik link di bawah ini.....

 

http://www.psn.gov.my/galeri-dan-pameran/

CONTOH RPH



RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (MAKROPENGAJARAN)
Tarikh                       : 4 April 2013
Masa                         : 12.05 hingga 12.40 tengahari (35 minit)
Kelas                         : 6 Al-Khawarizmi
Mata pelajaran        : Sains Rendah
Tema                         : Menyiasat Bumi dan Alam Semesta
Tajuk                         : Gerhana Bulan
Objektif Pengajaran: Di akhir sesi pembelajaran dan pengajaran murid dapat:-
1.     Menjelaskan bagaimanakah fenomena gerhana bulan berlaku.
2.     Melakar bentuk bulan sepanjang berlakunya gerhana bulan.
 Pengetahuan sedia ada murid:-
1.     Murid-murid telah mengetahui bahawa bumi dan bulan merupakan objek legap.
2.     Murid-murid telah mengetahui bahawa cahaya bergerak dalam satu garis lurus.
3.     Murid-murid telah mengetahui bahawa bumi dan bulan beredar mengelilingi matahari.
Konsep:-
1.     Gerhana bulan akan berlaku apabila bumi berada di antara bulan dan matahari.
2.     Bayang bumi akan jatuh pada permukaan bulan dan bulan akan mengalami gerhana.
Bahan bantu belajar:-
1.     Tiga biji bola berlainan saiz
2.     Kad tugasan
3.     Lembaran kerja

Nilai murni:-
1.     Mensyukuri adanya matahari yang mengeluarkan cahaya menyinari alam ini.
2.     Sikap bekerjasama semasa menyiapkan tugasan
Kemahiran Proses Sains:-
1.     Menginferens
2.     Berkomunikasi antara ruang dan masa



Langkah/Masa
Isi pelajar
-an

Aktiviti Guru
Aktiviti Murid
Catatan
Fasa 1
Mencungkil Idea
(5 minit)





Bersoal-jawab berkenaan dengan bahan maujud yang ditunjukkan oleh guru dan bentuk fasa bulan.

.        1. Guru menunjukkan 3 biji bola yang berlainan saiz dan meminta murid mewakilkan bola itu dengan objek di dalam sistem suria.

        2.Guru menunjukkan bentuk fasa-fasa bulan dan mengemukakan soalan untuk mencungkil idea.

        1. Murid membuat pemerhatian dan cuba mewakilkan bola-bola itu dengan objek di dalam sistem suria.
     2.   Murid menjawab soalan guru berkenaan dengan fasa bulan yang ditunjukkan oleh guru.

BBB:-
 3 biji bola berlainan saiz

Kad gambar fasa-fasa bulan
Fasa 2
Perkembang
an
(10 minit)





Meramalkan
Kedudukan bumi,
bulan dan matahari
semasa kejadian
gerhana.

        1.Guru meminta murid meramalkan kedudukan bumi, bulan dan matahari dengan melekatkan rajah objek tersebut pada sehelai kertas. (kerja kumpulan)

     2.   Guru meminta murid tampil ke hadapan untuk mempamerkan hasil tugasan mereka.

    3.    Guru bersoal-jawab dengan murid.

     4.   Guru menerangkan berkenaan dengan kedudukan bumi, bulan dan matahari selepas murid mempamerkan hasil perbincangan mereka.

      1.  Murid menyelesaikan tugasan yang diberi oleh guru secara berkumpulan.

    2 . Murid mempamerkan hasil
         perbincangan mereka
         mengenai kedudukan bumi,     
         bulan dan matahari semasa
         gerhana bulan.

3.Murid menjawab soalan guru.
  
4.Murid mendengar
   penerangan guru.

BBB:
Kad tugasan.
Fasa 3
Aplikasi Idea
(15 minit)





Meramalkan bentuk-bentuk bulan yang dapat dilihat semasa berlakunya gerhana bulan.

Mengaplikasi pengetahuan untuk menjawab soalan latihan


         1.  Guru mengedarkan kad tugasan kedua iaitu melakar bentuk fasa bulan semasa kejadian gerhana bulan.

         2.   Guru menjustifikasikan hasil perbincangan murid berkenaan dengan bentuk fasa bulan yang dapat dilihat semasa gerhana bulan.

   .     3.   Guru mengedarkan lembaran kerja kepada        murid.

         1.   Murid melakar bentuk fasa bulan semasa kejadian gerhana secara berkumpulan.
 
         2.    Wakil kumpulan mempamerkan hasil perbincangan mereka di hadapan kelas.

.          3.   Murid menyusun urutan bentuk fasa bulan di hadapan kelas.

         4.   Murid mengaplikasikan idea untuk menjawab soalan.

Kad tugasan

Lembaran kerja
Fasa 4
Refleksi/
Penutup
(5 minit)




Membuat kesimpulan tentang pelajaran pada hari ini.

1. Guru bersoal-jawab dengan
    murid tentang kejadian
    gerhana bulan dan 2 prinsip
    cahaya yang digunakan
    semasa peristiwa gerhana
   bulan.

.     2.   Guru memberi tugasan mencari maklumat tentang gerhana matahari.


1.        Murid menjawab soalan guru yang menjurus kepada pembentukan kesimpulan tajuk yang dipelajari.

 

REFLEKSI MAKROPENGAJARAN

Tuesday 23 April 2013

CARA TUMBUHAN MELINDUNGI DIRI DARIPADA CUACA MELAMPAU (SAINS THN 4)

Tumbuhan mempunyai pelbagai penyesuaian untuk hidup di kawasan cuaca yang melampau. Cuaca melampau di sini membawa maksud terlalu panas, terlalu sejuk ataupun kawasan berangin.

Gambar di bawah menunjukkan spesis pokok pisang. Penyesuaian pada dirinya ialah ianya mempunyai permukaan daun yang berlilin. Pucuknya pula bergulung bagi mengurangkan kadar kehilangan air.

Spesis seterusnya ialah pokok kaktus. Ianya mempunyai batang yang boleh menyimpan air, akar yang panjang untuk mencari air dan juga batang untuk menyimpan air.

Spesis seterusnya ialah pokok kelapa. Ianya mempunyai batang yang boleh melentur dan daun yang terbelah-belah bagi membolehkan angin melaluinya.

Pokok getah pula meluruhkan daunnya bagi mengelakkan kadar kehilangan air yang tinggi pada cuaca panas.

Pokok konifer pula berbentuk kon bagi membolehkan salji meluncur jatuh ke bawah. Ianya juga mempunyai daun terbelah-belah bagi membolehkan angin melaluinya.